Monday 28 November 2011

Dari Sebuah Pangkalan Kepada Sebuah Perkampungan



Kampung Amer Hilir ialah sebuah perkampungan yang tertua di Daerah Besut. Ianya dibuka sekitar tahun 1890 oleh sekumpulan kerabat Diraja Kelantan yang berasal dari beberapa kampung dari Daerah Pasir Puteh terutamanya dari Kampung Jeram, Kampung Saring dan sebagainya. Pada ketika itu, telah berlaku satu perang saudara antara mereka dan kumpulan yang tewas telah lari dan menyusuri sungai Besut yang akhirnya golongan ini telah singgah di kawasan Pulau Salim, Kampung Raja, Kampung Palembang, Kampung Lama dan Kampung Pinang.
Kampung Amer pada masa itu merupakan pangkalan kepada perahu-perahu peniaga ikan dan garam serta menjadi kawasan transit barangan perniagaan dari Kuala Besut ke Hulu Besut. Melihat kawasan kampung yang berpotensi menjadi sebuah kawasan penempatan yang ideal, golongan diraja yang tewas sepakat untuk menjadikan kawasan ini sebagai sebuah penempatan bagi mereka. Disebabkan kawasan tersebut aman damai dan mengikut loghat masyarakat Kelantan perkataan “aman” itu disebut “AME “ maka sehingga kini kampung ini dinamakan “AMER”.
Sejajar arus pembangunan yang melanda Kampung Amer dan kawasan sekitarnya yang menyebabkan penambahan penduduk maka taman-taman perumahan juga turut bertambah. Justeru itu, Kampung Amer telah dicadangkan supaya diuruskan oleh dua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) iaitu Amer Hulu dan Amer Hilir. Maka sehingga kini kampung tersebut terbahagi kepada dua bahagian.

No comments:

Post a Comment